Saturday, December 12, 2009

Zunar: Kami tetap teruskan walaupun pada kertas tandas


Lim Hong Siang | Dec 09, 2009 12:15:02 pm

"Saya akan nyatakan, sekiranya, akhirnya kami terpaksa buat dalam toilet tissue, lukis atas kertas toilet pun kerana disekat, itu pun kita akan jalankan... kerana kita harus perjuangkan benda ni."

Demikianlah ketegasan Ketua Editor majalah Gedung Kartun (GK), Zunar ketika mengumumkan penerbitan GK kedua dalam format baru, untuk mengelakkan "pergaduhan dengan KDN (Kementerian Dalam Negeri)" dari segi undang-undang, pagi ini.

"Kami tetap akan buat," tegas Zunar. Majalah Jenaka Alternatif,Gedung Kartun mencetus kontroversi apabila terbitan pertamanya muncul di pasaran pada Ogos tahun ini. Pegawai KDN telah menyerbu pejabat penerbitnya pada 25 Ogos, dan kilang pencetaknya pada hari keesokan.

Zunar berkata, "rintangan-rintangan ini tidak akan menggagalkan kami. Kartunis-kartunis yang berbaris di belakang saya pada hari ini adalah kartunis-kartunis yang telah faham risiko dan tegas dengan pendirian ini."

"Walaupun kita hanya ada empat, lima orang saja, tetapi mereka adalah lebih baik... mereka adalah kumpulan yang berkualiti kerana kita tegas dengan pendirian ini, dan kita faham risikonya, dan kita faham ini part of perjuangan sebagai satu trend kartun yang tidak pernah dihasilkan kartunis lain di Malaysia sebelum ini," ujarnya.

GK II : Perak Darul Kartun

Sebermulanya sidang media pada hari ini, Zunar berkata, "GK ini telah menjadi kontroversi, dan kami pun belum mendapat satu kata putus dari KDN tentang lesen. Kita tidak tahu...untuk terus terang, kita pun tidak mengharapkan lesen itu akan diberi kerana kontroversi ini."

"Kerana itu, kami terpaksa keluarkan GK ini kerana kami begitu percaya content (kandungan) macam inilah yang betul-betul menjadi pendirian kami sebagai kartunis," jelasnya ketika mengumumkan penerbitan GK II dalam bentuk buku yang hanya memerlukan ISBN, dan bukannya permit seperti syarat yang dikenakan pada majalah.

"Kenapa kami memilih buku? Buku adalah penerbitan tidak berkala, dengan itu tidak memerlukan permit penerbitan, hanya ISBN yang mana kami telah memperolehinya. Perak Darul Kartun mempunyai ketebalan 80 muka surat tidak termasuk kulit muka (dengan penambahan 12 muka surat berbanding GK) dan dijual dengan harga RM10 setiap naskhah," Jelasnya.

Beliau menyambung, "cetakan pertama adalah sebanyak 10, 000 naskhah dan akan diedarkan ke seluruh negara. Ia juga boleh dibeli secara online melalui websitecartoonkafe.com."

Lawan KDN: Perkara yang terlalu kecil

Zunar, atau nama asalnya Zulkiflee Anwar Haque (gambar kiri) pernah dipanggil oleh pihak KDN untuk disoal siat setelah serbuan dan rampasan majalahnya oleh pihak KDN. Malah, semasa disoal siasat, Zunar dimaklumkan bahawa dirinya mungkin didakwa di mahkamah lantaran penerbitan majalah tersebut.

Walaupun tiada perkembangan baru menyusul selepas itu, namun serbuan tersebut secara tidak langsung telah menjadi publisiti untuk majalah ini, apabila syarikat penerbitnya Sepakat Efektif terpaksa membuat terbitan kedua sebanyak 5,000 naskah, selepas terbitan pertama 10,000 naskah.

Kali ini, kumpulan kartunis GK tidak ingin terheret dalam konfrontasi terhadap KDN, memandangkan pegawai pentadbirnya hanya menjalankan arahan dari "orang atas". Zunar menyifatkan bahawa "lawan KDN" itu perkara yang terlalu kecil untuk mereka.

"Matlamat kami untuk menerbit..."

Sementara menunggu permit untuk GK, pejabat Zunar juga memohon permit majalah yang lain. Zunar menjelaskan bahawa pemohonan ini bertujuan untuk menunjukkan bahawa "permit diminta tetapi tidak diberi", biarpun alasan penolakan itu tidak akan dimaklumkan. Keadaan ini berbeza jikalau dibandingkan dengan negara lain, misalnya Indonesia yang hanya memerlukan penerbit untuk sekadar memaklumkan penerbitan bahan bacaan, bahkan pencetak bahan tersebut tidak memikul apa-apa tanggungjawab.

Sebagai Ketua Editor, Zunar menjelaskan bahawa penyambungan penerbitan GK dalam bentuk buku membuktikan pihaknya tidak berhasrat untuk berkonfrontasi dengan pihak KDN kerana itu bukanlah matlamat mereka.

"Matlamat kami adalah untuk menghasilkan karya-karya alternatif dalam konteks Malaysia, dengan isu-isu dan pendekatan yang selama ini gagal diketengahkan oleh karyawan negara ini, khususnya kartunis," katanya.

"Kami percaya, kartunis bukan sahaja berperanan mengetengahkan unsur lelucon dalam karya, tetapi punya tanggungjawab sosial untuk mengkritik, merakam realiti, memberi informasi, membawa suara rakyat dan mendidik," katanya.

Zunar menyambung, "kami berpendirian tegas bahawa kartunis tidak boleh berdiam diri atau berkecuali, tetapi harus menyatakan pendirian apabila masyarakat atau negara berdepan dengan krisis. Untuk saya, negara kita sedang menghadapi krisis, setidak-tidaknya krisis moral dan krisis keyakinan orang ramai terhadap pemerintah. Siri-siri, episod-episod yang berlaku, krisis kehakiman, krisis ekonomi, rasuah, SPRM, pembunuhan Teoh Beng Hock dan sebagainya, adalah krisis."

"Jadi, kartunis tidak boleh berdiam diri dan berkecuali. Kerana berkecuali, ertinya kita memihak kepada orang yang melakukan kezaliman. Berkecuali itu tidak bermakna tidak memihak," jelasnya.

Beliau bersambung,"...pendirian kami tegas. Kita tidak boleh berkecuali. Kita mesti menyatakan pendirian dan pendirian untuk membela orang-orang yang dizalimi, dan menyatakan mana yang benar dan mana yang salah."

No comments: